Tuesday, April 1, 2008

Alam Cakerawala



: Alam Cakerawala
Kiriman: zakj27 pada Isnin, 07 Oktober, 2002 - 01:17 AM EST

Bukakanlah pandangan kita di alam yang luas ini. Apabila kita memandang kepada bumi yang bulat seperti bola ini, kita akan dapati ia merupakan satu makhluk Allah yang sangat besar jika dibandingkan dengan diri kita.
Tetapi apabila kita memandang pula ke angkasa lepas dengan segala bintang-bintang dan planet-planet yang ada padanya, tidak terbilang jumlahnya, tidak terkira besarnya dan tidak terukur jaraknya antara satu dengan lain.
Apabila kita dapat tahu pula dari apa yang telah dituliskan dan dijumpai oleh pengetahuan moden tentang bintang-bintang, tentang bilangan planet-planet, tentang saiznya, tentang beratnya, tentang jaraknya, tentang perjalanannya yang laju, nescaya lemahlah segenap akal kita untuk mengetahuinya.
Sebagai contohnya, matahari. Saiznya lebih besar dari bumi sebanyak 1 000 250 kali besarnya, malah di alam luas ini masih terdapat lagi bintang-bintang yang lebih besar dari matahari berkali-kali ganda. Begitu pula jarak matahari dengan bumi yang amat jauh iaitu 150 juta km (93 juta batu).
Semuanya ini beredar di orbit masing-masing dengan teratur, dengan sistem peraturan yang cukup rapi tanpa perubahan dan tanpa berlakunya perlanggaran. Itulah sunnatullah (peraturan dan undang-undang Allah) yang Maha Kuasa dan Maha Bijaksana.
Unit ukuran bagi jarak antara bintang-bintang ialah tahun cahaya. Iaitu jarak yang dilintasi oleh cahaya di dalam setahun padahal halaju cahaya adalah 300 000 km sesaat (perjalanan sejauh 300 ribu km memakan masa hanya satu saat), jadi berapakah juta kilometer dalam setahun? ....... Allahu Akbar.
Ahli Falak (astronomer) berkata, bahawa di sana ada beberapa banyak bintang yang jauhnya dari kita beratus-ratus juta tahun cahaya. Benarlah Allah yang Maha Besar berfirman yang bermaksud :
" Maka Aku bersumpah dengan tempat letaknya bintang-bintang. Sesungguhnya sumpah itu adalah sumpah yang besar, kalau kamu mengetahui". (Surah Al-Waqiah:75)

No comments: